MAJLIS PENYEMPURNAAN KURSUS PELUASAN ROAD ACCIDENT MANAGEMENT SYSTEM (RAMS) DAN PELAPORAN DATA KEMALANGAN JALAN RAYA MENGIKUT PIAWAIAN PDRM K27 DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR) DAN PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA (WHO) TAHUN 2026
KUCHING, SARAWAK – Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah merasmikan Majlis Penyempurnaan Kursus Peluasan Road Accident Management System (RAMS) Tahun 2026 yang merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan World Health Organization (WHO).
Kursus ini telah menghimpunkan pegawai-pegawai teknikal daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wakil World Health Organization (WHO). Penganjuran kursus ini merupakan komitmen berterusan KKR dalam memperkukuh kapasiti dan kompetensi pegawai teknikal dalam pengurusan data kemalangan jalan raya secara lebih sistematik, bersepadu dan berasaskan bukti.
Dalam ucapan perasmian penutupan, YB Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa penggunaan data yang tepat dan berkualiti merupakan asas kepada perancangan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat. Melalui RAMS, KKR dapat mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku kemalangan, atau dikenali sebagai blackspot berdasarkan kepada kriteria iaitu 3 kemalangan sama jenis atau 5 kemalangan dari pelbagai jenis dalam tempoh 3 tahun dalam lingkungan 50m radius atau 100m panjang jalan. Lokasi blackspot ini akan dirawat menggunakan pe-runtukan di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya.
Antara kerjasama strategik KKR dan WHO adalah dalam pembinaan Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) melalui penambahbaikan reka bentuk piawai JKR dengan penerapan elemen reka bentuk antarabangsa serta penilaian keberkesanan program secara berterusan. Kerjasama ini turut merangkumi pemerkasaan pengurusan data kemalangan melalui Road Accident Management System (RAMS) bersama PDRM, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JKR, dan agensi berkaitan, serta pelaksanaan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
KKR kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama WHO, PDRM dan KPKT dalam mempertingkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini. Kerjasama ini menjadi antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh keselamatan jalan raya secara berterusan melalui penyediaan infra-struktur yang lebih berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.