MAJLIS PENYERAHAN BUKU LAPORAN PERANGKAAN KEMALANGAN JALAN RAYA MALAYSIA TAHUN 2025 POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)
Kuala Lumpur, 20 Ogos 2026 – Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali telah menghadiri Majlis Penyerahan Buku Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia Tahun 2025 Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi kerajaan di Dewan Theatrette, Lobi Menara 1, Bukit Aman, hari ini.
Pada majlis tersebut, YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali bersama kepimpinan tertinggi JSPT telah menyerahkan sebanyak 14 naskhah kepada wakil Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 20 naskhah kepada beberapa agensi kerajaan, antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar data dan statistik yang dibekalkan tidak sekadar dijadikan bahan rujukan, sebaliknya dimanfaatkan sebagai sumber kajian dan penyelidikan bagi menyokong usaha penambahbaikan keselamatan jalan raya di negara ini.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara JSPT dan institusi pengajian tinggi melalui penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, analisis data serta pembangunan kajian berasaskan bukti bagi mengenal pasti langkah-langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan jalan raya.
Kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan, institusi akademik dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan data kemalangan jalan raya dapat diterjemahkan kepada pengetahuan, dasar dan strategi yang mampu memberi impak positif terhadap keselamatan serta kesejahteraan pengguna jalan raya.
Turut hadir ialah YDH ACP Fauzi bin Osman, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman; YDH ACP Shankar A/L Sanrakasa, Ketua Urus Setia JSPT Bukit Aman; barisan Ketua Penolong Pengarah JSPT Bukit Aman serta pegawai-pegawai kanan JSPT Bukit Aman.
Antara tetamu jemputan yang hadir ialah YBhg. IR Mohd Fairuz bin Mamat@ Muhamad, Setiausaha Bahagian, Kementerian Kerja Raya; YBhg. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nasriman bin Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Keselamatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), serta wakil-wakil daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi kerajaan.