MAJLIS PERASMIAN LINTASAN PEJALAN KAKI SEARAS BERLAMPU ISYARAT DI BAWAH PROGRAM MENAIKTARAF INFRASTRUKTUR KESELAMATAN JALAN RAYA DENGAN KERJASAMA WORLD HEALTH ORGANISATION (WHO) & BLOOMBERG PHILANTHROPIES
PROGRAM MENAIKTARAF INFRASTRUKTUR KESELAMATAN JALAN RAYA (PMIKJR)
SJK(T) LADANG GADONG, 26 NOVEMBER 2025 – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini telah melancarkan projek peningkatan aspek keselamatan pengguna jalan raya sempena penyiapan dan penyerahan Lintasan Pejalan Kaki Berlampu Isyarat (LPKSI), yang merupakan salah satu daripada 153 projek keselamatan jalan raya yang telah berjaya disiapkan oleh kementerian sejak tahun 2018.
Pelaksanaan projek ini adalah selaras dengan sasaran Kementerian Kerja Raya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut sehingga 50 peratus menjelang tahun 2030, selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan infrastruktur jalan raya negara.
Dalam majlis pelancaran yang diadakan pada 26 November tahun lalu, YB Menteri memaklumkan bahawa projek ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya, khususnya murid sekolah dan pejalan kaki yang menggunakan lintasan tersebut.
Projek keselamatan jalan raya ini dilaksanakan di lokasi tumpuan orang ramai seperti sekolah, pasar, pusat beli-belah serta fasiliti peribadatan termasuk masjid, bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada masyarakat setempat.
Selain pemasangan lampu isyarat, inisiatif penambahbaikan keselamatan jalan raya turut melibatkan pembinaan jejantas pejalan kaki serta pemasangan lampu jalan bagi meningkatkan tahap pencahayaan di persimpangan jalan dan kawasan berisiko.
Kementerian Kerja Raya akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya secara berperingkat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pengguna jalan raya di negara ini.