Loading

POCKET TALK PROGRAM MADANI RAKYAT TERENGGANU: JALAN RAYA SELAMAT? APA TU?

Kuala Terengganu, 10 Julai 2025 – Isu keselamatan jalan raya sentiasa menjadi perhatian utama, terutamanya di negeri yang mempunyai rangkaian jalan raya yang luas seperti Terengganu. Bersempena dengan Program MADANI, satu sesi "Pocket Talk" telah diadakan khusus untuk mendekatkan rakyat Terengganu dengan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Sesi ini memberi tumpuan kepada program-program di bawah Cawangan Keselamatan Jalan Raya, Bahagian Perancang Jalan, serta pengenalan kepada Road Accident Management System (RAMS).

Pembentangan utama dalam sesi Pocket Talk ini meliputi empat skop penting di bawah Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya iaitu Penambahbaikan Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot), Pemasangan Lampu Jalan di Kawasan Kemalangan / Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap, Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) dan Pemasangan Lampu Isyarat di Persimpangan. Program ini merupakan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keyakinan pengguna jalan raya.

Selain daripada Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya, sesi Pocket Talk turut memperkenalkan secara ringkas sistem RAMS. RAMS adalah sistem pengurusan data kemalangan jalan raya yang komprehensif. Sistem ini memainkan peranan penting dalam mengumpul, menganalisis, dan memantau data kemalangan secara sistematik.

Pocket Talk Program MADANI ini berjaya merapatkan jurang antara inisiatif kerajaan dan pemahaman rakyat tentang usaha meningkatkan keselamatan jalan raya. Diharapkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bersama dalam mewujudkan jalan raya yang lebih selamat dapat dipertingkat. Rakyat Terengganu kini mempunyai gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana usaha-usaha ini akan membawa kepada "Jalan Raya Selamat" yang dicita-citakan.