PROGRAM MADANI RAKYAT KELANTAN 2025
KOTA BHARU, 7 OGOS 2025 – Program Madani Rakyat Kelantan 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos 2025 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV telah membuka tirainya dengan penuh meriah, membawa tema “Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk Kesejahteraan Rakyat”.
Reruai Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi di bawah naungan menjadi tumpuan pengunjung yang hadir bagi mendapatkan pelbagai informasi berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan, terutamanya aplikasi MyJalan KKR.
Selain itu, Cawangan Keselamatan Jalan Raya, Bahagian Perancang Jalan KKR turut diberikan ruang untuk berkongsi mengenai keselamatan jalan raya. Antara pembentangan utama yang diketengahkan termasuklah empat skop penting di bawah Program Menaik Taraf Keselamatan Jalan Raya, iaitu:
1. Penambahbaikan di lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspot);
2. Pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko akibat jalan gelap;
3. Pembinaan Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI); dan
4. Pemasangan lampu isyarat di persimpangan.
Inisiatif ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan, di samping mengurangkan kadar kemalangan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan jalan raya.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kelantan, khususnya masyarakat Kota Bharu, atas sokongan dan penyertaan dalam memeriahkan Program Madani Rakyat Kelantan 2025.